
Tak Mudah Jatuh Sakit, Ada Caranya Untuk Buat Sistem Imunisasi Anak Jadi Kuat
Semua ibu bapa mahukan kesihatan optimum untuk anak-anak mereka, namun pada masa yang sama, ramai yang tidak mengetahui sistem pertahanan badan yang kuat mampu melawan sebarang jangkitan penyakit. Tambah pula dengan kes serangan influenza dan penyakit yang pelbagai sekarang ini, ibu bapa perlu lebih peka dengan kesihatan anak-anak.
Jom kita ketahui info untuk meningkatkan daya imuniti anak anda.
1.Imunisasi
Imunisasi berkesan untuk melindungi badan si manja sebelum diserang penyakit yang boleh membawa maut. Pemvaksinan boleh dilakukan ketika si manja sihat mengikut jadual suntikan imunisasi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
2.Persekitaran sihat dan ceria
Elakkan membawa bayi dibawah usia enam bulan di kawasan yang sesak dengan orang ramai dan mereka yang tidak sihat. Namun pastikan persekitaran selamat sebelum membawa bayi ke taman permainan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berjoging atau berenang yang boleh membantu meningkatkan kecekapan fungsi imun.
3.Emosi positif
Bayi yang menghadapi tekanan mampu mengurangkan keupayaan sistem imun untuk menentang jangkitan yang menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Oleh itu, wujudkan emosi yang positif supaya anak gembira.
Lakukan aktiviti bersama seperti membaca, mewarna, melukis dan bermain bersama anak-anak anda. Suasana seperti ini boleh membantu menguatkan sistem imun kerana ia membantu mengurangkan hormon tekanan dan menambah sel imun.
4.Pemakanan yang seimbang.
Apa yang anak anda makan boleh mempengaruhi sistem imunnya. Jadi hidanglah makanan yang berzat untuknya membesar dengan system pertahanan badan yang kuat. Hasil kajian menunjukkan risiko penyakit berjangkit adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak terutamanya bayi yang kekurangan zat makanan.
Jadi sediakan diet yang lengkap dan seimbang untuk anak anda. Rujuk kepada piramid panduan makanan yang dapat membantu menjamin sistem imun si manja berfungsi dengan baik.